Monday, August 16, 2010

ANAEMIA (Semasa Mengandung)



Masalah Anaemia atau selalu disebut sebagai masalah kurang darah merah sering berlaku dalam kalangan ibu mengandung. Untuk makluman umum, Anaemia adalah keadaan yang merujuk kepada kepekatan darah merah kurang daripada paras normal. Seseorang yang menghidap Aneamia mempunyai kepekatan darah merah kurang daripada 10 gm% Haemoglobin.
Semasa mengandung, keperluan sel darah merah akan meningkat untuk menampung keperluan ibu dan janin dalam kandungan. Pertambahan ini akan menyebabkan terjadinya masalah ini kepada ibu yang mengandung. Setelah kita mengenali apa itu Anaemia, kita juga perlu mengetahui apa yang menyebabkan ianya berlaku. Pengambilan makanan yang tidak seimbang dalam kalangan ibu mengandung adalah salah satu puncanya. Hal ini boleh disebabkan sikap ibu yang mengandung itu sendiri yang mengabaikan permakanan ataupun disebabkan kemiskinan hidup. Selain itu, jangkitan cacing dan kadar kelahiran yang kerap juga menjadi punca kerana darah di dalam badan akan berkurangan. Pendarahan yang berlebihan daripada faraj dan penyakit buasir juga boleh menyebabkan anaemia.
Oleh yang demikian adalah perlu untuk kita mengetahui tanda-tanda awal penyakit ini agar rawatan segera boleh diberikan. Penyakit ini boleh dikesan lebih awal sekiranya melalui ujian darah yang dijalankan di klinik semasa membuat pemeriksaan. Ibu-ibu dinasihatkan segera ke klinik apabila mendapati mereka mengandung. Sekiranya seseorang menghidap Anemia semasa mengandung, akan kelihatan tanda pucat pada telapak tangan, kelopak mata dan bibir. Selain itu, seseorang itu akan sentiasa rasa letih lesu dan rasa mahu pitam. Kaki dan tangan juga akan berasa kebas dan sentiasa rasa pening.
AWAS!!! Sekiranya keadaan ini tidak dirawat ianya akan menyebabkan keguguran, melahirkan anak tidak cukup bulan, kandungan mati dalam perut, melahirkan anak tidak cukup berat badan, mengalami tumpah darah, kurang pengeluaran susu ibu dan berisiko mendapat penyakit lemah jantung.

Monday, August 9, 2010

Jerebu dan kesihatan



Jerebu ialah satu fenomena yang disebabkan oleh kewujudan banyak partikel-partikel kecil yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar dan terapung-apung di udara. Partikel-partikel ini mungkin berasal secara semulajadi ataupun kesan sampingan daripada aktiviti manusia. Apabila partikel-partikel ini wujud dalam kuantiti yang banyak dan berkelompok ianya boleh menyekat pancaran cahaya matahari ke bumi. Oleh yang demikian, keadaan ini mengurangkan jarak pandangan mata kasar.
Adalah penting bagi kita mengenal pasti punca-punca berlakunya jerebu ini agar langkah pengawalan dapat diambil daripada berlakunya jerebu ini. Sekiranya jerebu telah berlaku, adalah sukar untuk mengawalnya kerana memerlukan jangka masa panjang dan kos yang tinggi.
Pembakaran secara terbuka dan tanpa kawalan dikesan menjadi penyumbang utama kepada berlakunya jerebu ini. Pembakaran terbuka biasanya bertujuan membersihkan kawasan pertanian yang berskala luas terutamanya di negara jiran. Namun akibat tidak dikawal, ianya merebak ke kawasan hutan dan menyebabkan kebakaran besar terjadi. Kesannya, asap yang terhasil daripada kebakaran tersebut menyebabkan berlakunya jerebu. Hal ini diburukkan lagi sekiranya angin bertiup kencang yang menyebabkan kebakaran semakin merebak dan membawa kabus asap ke lokasi lain. Memadamkan kebakaran dan pembenihan awan adalah langkah yang diambil oleh pihak berkuasa.
Selain itu, jumlah kenderaan yang semakin meningkat terutamanya di negara-negara membangun dan maju menyebabkan kadar pengeluaran asap kenderaan meningkat. Saban tahun, berlaku pertambahan berjuta-juta pengguna kenderaan. Hal ini tidak termasuk lagi dengan bilangan kenderaan yang dimiliki oleh setiap individu tersebut. Pencemaran asap kenderaan tidak dapat dielakkan kerana ianya medium perhubungan penting kepada sosio mahupun ekonomi sesebuah negara. Namun, tindakan penguatkuasaan asap hitam sering dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar bertujuan memantau pengeluaran asap hitam daripada kenderaan terutamanya kenderaan komersil.
Aktiviti Industri dan Kuari turut menjadi penyumbang kepada berlakunya jerebu ini. Meskipun diberikan garis panduan dan diwajidkan memasang alat penapis di serombong pelepasan asap. Namun masih ada syarikat yang mengambil jalan mudah dengan tindakan mengikut peraturan yang diwajidkan. Hal ini diburukkan lagi sekiranya perkara ini dilakukan oleh kilang-kilang haram yang jelas sekali sukar dipantau oleh pihak berkuasa. Dari masa ke semasa, semakin banyak kawasan industri dan kuari dibangunkan di seluruh dunia bagi menampung keperluan pengeluaran. Secara tidak langsung, kadar pencemaran udara akan meningkat dan jerebu akan kerap terjadi.
Jerebu mendatangkan implikasi yang akan mengancam kesihatan kita sekiranya tidak dikawal dan golongan berisiko tinggi akan lebih cepat mendapat kesannya. Kanak-Kanak, Orang Tua, Penghidap Penyakit Kronik, Perokok dan mereka yang sentiasa berkerja di luar (Buruh Binaan, Pekerja Kebersihan, Polis Trafik dan sebagainya). Gejala-gejala yang boleh dirasai sekiranya kita mengalami kesan jerebu ini adalah terasa gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk-batuk, terasa sukar untuk bernafas atau sesak nafas, mata pedih dan berair, hidung berair dan kerap bersin, kulit badan terasa gatal-gatal dan sakit dada.
Langkah yang terbaik bagi menghadapi jerebu sekiranya ia terjadi adalah mengurangkan aktiviti di luar pejabat atau rumah. Jika perlu berada di luar pejabat atau rumah atas sebab kerja atau urusan lain. Pemakaian topeng muka adalah digalakkan dan orang ramai diminta meminum air dengan banyak. Sentiasa merujuk di media massa mengenai status terkini indeks jerebu yang dilaporkan agar anda boleh merancang aktiviti harian anda.

Thursday, August 5, 2010

PEMERIKSAAN SENDIRI PAYUDARA



Kanser Payudara adalah ancaman kepada wanita di seluruh dunia. Ianya bentuk barah kedua yang mengakibatkan kematian tertinggi dalam kalangan wanita. Dalam kebanyakkan kes, pesakit lewat mendapatkan rawatan daripada klinik dan hospital kerana tidak tahu tanda penyakit ini atau cuba mendapatkan rawatan tradisional terlebih dahulu. Semakin lanjut usia seseorang, semakin tinggi risiko untuk mendapat kanser ini. Kanser ini tidak hanya mengancam wanita sahaja, lelaki juga berpeluang untuk mendapatkan kanser ini. Selain faktor usia, faktor keturunan juga merupakan salah satu risiko. Sejarah ahli keluarga yang pernah menghidapi Kanser dan telah mendapat kanser pada salah satu payudara akan meningkatkan lagi risiko ahli keluarga yang lain untuk mendapat kanser ini.
Kerajaan amat serius dalam usaha membendung dan membantu masyarakat membuat pemeriksaan awal mengenai tanda-tanda Kanser Payudara. " ...Kerajaan dalam pembentangan Dasar Bajet 2007, telah meluluskan permohonan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk memberi sudsidi sebanyak RM 50.00 bagi setiap ujian mamogram yang dijalankan oleh wanita di pusat-pusat mamogram swasta yang berdatar dengan LPPKN..." (Dipetik daripada : Pengesanan Awal Menyelamat Nyawa (2010). http:// mamogram.lppkn.gov.my). Rasionalnya perkara ini adalah kerana mereka yang menghidapi penyakit ini terdiri daripada golongan berpendapatan rendah. Dengan adanya bantuan subsidi ini, diharapakan lebih ramai yang tampil untuk melakukan pemeriksaan.
Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) perlu dilakukan setiap bulan di antara hari ketujuh dan kesepuluh selepas bermulanya haid. Sekiranya haid tidak teratur atau sudah putus haid, lakukan PSP pada satu hari yang tetap setiap bulan seperti hari pertama dan terakhir setiap bulan. PSP boleh dibahagikan kepada dua cara iaitu melihat perubahan di cermin atau mengesan perubahan secara berbaring.
Jika anda melihat perubahan di hadapan cermin, lihat pada saiz, bentuk dan keseimbangan bentuk payudara (symmetry) serta paras kedua-dua puting payudara. Pada kendudukan satu, tanggalkan baju dan coli dan perhatikan payudara anda di cermin. Selepas itu, angkat kedua-dua tangan ke atas kepala. Periksa payudara dari pelbagai sudut. Kemudian berdiri tegak di hadapan cermin dengan tangan anda ke bawah. Pusing ke kiri dan ke kanan untuk mengesan seberang perubahan paya payudara. Tegangkan otot-otot bahagian dada dengan mencekak pinggang dan ke bawah.
Cara kedua adalah dengan mengesan perubahan dengan cara berbaring. Mulakan dengan payudara kanan. Baring mengiring ke kiri dan bengkokkan kedua-duan lutut. Letak bantal atau tuala mandi yang dilipat di bawah bahu kanan untuk menaikkan bahagian yang akan diperiksa. Letak tangan kanan di bawah kepala dan guna tapak jari-jari tangan kiri untuk memeriksa payudara kanan bagi mengesan benjolan atau penebalan pada payudara. Lakukan pemeriksaan payudara Kaedah Urutan Menegak (Vertical Strips). Gunakan tangan kiri, mulakan urutan pertama di bahagian ketiak. Buat pusingan ringan kemudian tekan kuat untuk merasa sebarang benjolan. Selepas itu lakukan pemeriksaan payudara Kaedah Pusingan (Circular). Mulakan di bahagian atas payudara, buat pusingan yang besar. Gerakan tangan di sekeliling payudara dengan memerhatikan sebarang benjolan dan buat sekurang-kurangnya tiga pusingan kecil sehingga sampai ke puting payudara. Ulang sebanyk dua kali, sekali dengan tekanan ringan dan sekali dengan tekanan kuat.
Selain itu juga, lakukan pemeriksaan lelehan puting payudara. Guna kedua-dua belah tangan, picit payudara untuk melihat jika terdapat sebarang lelehan luar biasa. Selepas itu lakukan juga pemeriksaan ketiak dengan jatuhkan tangan ke sisi dan rasa ketiak dengan teliti bagi mengesan sebarang benjolan. Lakukan langakh sama pada payudara sebelah kiri.
Sekiranya sewaktu pemeriksaan tersebut anda mendapati ada benjolan di payudara atau ketiak, perubahan bentuk saiz payudara yang luar biasa, kerutan atau lekukan, puting tertarik ke dalam dan pendarahan atau lelehan luar biasa dari puting payudara.
SEGERA BERJUMPA DOKTOR JIKA ANDA MENEMUI SEBARANG KELAINAN PADA PAYUDARA ANDA. Habis.

Wednesday, August 4, 2010

Leptospirosis (Kencing Tikus)


Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kematian yang melibatkan petugas-petugas menyelamat yang terbabit dalam operasi mencari mangsa lemas di Lubuk Yu. Hasil daripada siasatan, punca kematian ini adalah disebabkan berpunca daripada penyakit kencing tikus atau dikenali sebagai leptospirosis. Ianya merupakan penyakit berjankit zoonosis yang berpunca daripada spirochaete yang menjejaskan manusia dan haiwan yang lain. Leptospirosis merupakan jangkitan bakteria yang jarang berlaku pada manusia. Jangkitan biasanya dipindahkan kepada manusia apabila air yang dicemari dengan air kencing haiwan menyentuh bukaan pada kulit, mata atau dengan selaput lendir. Ianya disebarkan melalui air kencing haiwan yang dijangkiti dan berjangkit selagi ianya masih lembap.
Mangsa yang dijangkiti oleh penyakit ini akan menunjukkan beberapa gejala. Namun dalam sesetengah kes, mungkin tiada gejala atau tanda yang ditunjukkan oleh mangsa. Pada peringkat awal mangsa mungkin mengalami demam, selsema, muntah dan cirit-birit. Tanpa rawatan awal ianya akan menjejaskan buah pinggang dan menyebabkan kerosakkan hati. Dalam kebanyakkan kes, mangsa tidak mendapatkan rawatan atau lewat ke klinik atau hospital menyebabkan mangsa tidak dapat diselamatkan.
Untuk pengetahuan umum, manusia boleh dijangkiti oleh penyakit ini melalui hubungan dengan air, makanan atau tanah yang mengandungi air kencing haiwan yang dijangkiti ini. Ini mungkin berlaku dengan menelan makanan atau air yang tercemar atau melalui sentuhan kulit. Pekerja yang berisiko untuk mendapat penyakit ini adalah pekerja veterinar, penyembelihan, petani, pekerja kumbahan dan mereka yang menjalankan aktiviti air. Oleh yang demikian, pemakaian alatan pelindungan oleh para pekerja ini adalah penting bagi mencegah berlakunya jangkitan penyakit ini. Tahap kebersihan haruslah berada pada tahap yang amat baik di tempat-tempat sebegini.
Selain itu, pengunjung-pengunjung yang mengunjungi kawasan riadah berair seperti di air terjun, kolam dan tasik harus lah berwaspada. Sentiansa peka dengan makluman semasa yang dikeluarkan oleh media dan elakkan mengunjungi kawasan yang terpencil untuk beriadah. Kawasan rekreasi awam biasanya dipantau oleh pihak berkuasa bagi memantau kandungan yang terdapat di dalam airnya. Oleh yang demikian, risiko jangkitan adalah berkurang berbanding kawasan yang terpencil. Selain itu, jika kawasan tersebut kotor dan terdapat tikus. Adalah lebih baik untuk meninggalkan lokasin tersebut bagi mengelakkan berlakunya jangkitan. Sentiasa pantau kesihatan ahli keluarga anda selepas pulang daripada kawasan rekreasi air. Sekiranya ahli keluarga anda tidak sihat dan mengalami gejala yang telah dinyatakan. Segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran.

Sunday, August 1, 2010

Keracunan Makanan...



Cirit-birit, loya dan muntah, sakit perut dan memulas atau demam dan kesejukkan. Jika anda mengalami tanda-tanda tersebut, segeralah ke klinik atau hospital yang berhampiran bagi mendapatkan rawatan. Selain itu, berikanlah kerjasama anda sekiranya anda dilawati oleh Pegawai Kesihatan untuk mendapatkan maklumat mengenai punca keracunan makanan yang anda alami. Nyatakanlah lokasi, jenis makanan, tanda-tanda pada makanan (warna, rasa atau bau yang aneh) atau keadaan premis makanan tersebut ( kebersihan, serangga atau binatang yang dilihat dan persekitaran premis tersebut ). Kerjasama anda mampu membantu Pihak Kesihatan menjalankan tindakan segera.
Keracunan Makanan ini disebabkan oleh beberapa punca seperti kuman, bahan kimia, penggunaan peralatan memasak yang kotor, serangga perosak seperti lalat. tikus dan lipas serta keracunan toksin@racun semulajadi seperti kulat dan cendawan menjadi punca Keracunan Makanan. Punca-punca yang berlaku ini terjadi kerana sikap lalai dan tidak mengutamakan kebersihan oleh sesetengah penyedia makanan seperti kedai makan, penjaja mahupun kantin atau kafeteria. Oleh yang demikian, kita sebagai pelanggan ataupun pengusaha kedai makan mestilah tahu dan mengamalkan langkah-langkah pengedalian dan penyediaan makanan yang bersih dan ditetapkan oleh Pihak Berkuasa.
Ciri-ciri pengedalian makanan yang sempurna harus diamalkan sama ada makanan disediakan di rumah ataupun premis makanan. Gunakanlah kain yang bersih untuk mengelap pinggan dan mangkuk menghidang makanan. Lindungi makanan dari lalat, tikus dan lipas ( Agen Pembawa Bakteria) dengan menggunakan tudung saji jika di rumah atau penutup bekas makanan sekiranya di premis makanan. Langkah sebaiknya adalah sentiansa mengemaskan tempat penyediaan makanan dan membuang sampah dan sisa buangan jauh daripada tempat memasak.
Makanan yang telah dimasak tidak boleh dicampur dengan makanan mentah di tempat yang sama. Hal ini bagi mengelakkan berlakunya pencemaran terhadap makanan tersebut. Selain itu, elakkan mengambil makanan menggunakan tangan. Sediakanlah penyepit atau sudu bagi membolehkan makanan diambil.
Sekiranya anda bukan pengedali premis makanan, sebagai pelanggan. Anda juga perlu mengetahui ciri-ciri premis yang bersih agar anda menjadi pelanggan yang bijak memilih premis yang bersih. Restoran mahupun kedai makan tidak semestinya lebih bersih berbanding penjaja-penjaja di tepi jalan. Ciri-ciri premis yang bersih adalah mempunyai tempat membasuh peralatan yang sesuai. Seringkali kita melihat pinggan-mangkuk yang kotor dilonggokan di tepi longkang untukdibasuh oleh pengedali makanan yang tidak bertanggungjawab. Selain itu, ruangan bagi mempamer dan menyimpan makanan juga haruslah mencukupi dan tidak kotor supaya kebersihan makanan terjamin dan makanan tidak bercampur-aduk. Siling dan dinding mestilah bersih dan bercat cerah. Terdapat sesetengah premis, terutamanya kedai lama yang membiarkan sahaja dinding dan siling yang telah berkulat tanpa dicat baru. Pencahayaan dan pengudaraan perlu la mencukupi dan berfungsi agar pelanggan selesa dan tidak berlaku pencemaran bau.
Akhir sekali, setelah memilih kedai. Pekerja-pekerja juga harus dilihat kebersihannya. Pengedali makanan ini tidak sepatutnya menghisap rokok semasa mengedalikan makanan. Meludah atau batuk ke arah tempat penyediaan makanan. Tidak menutup rambut, memakai apron dan pakaian yang bersih sewaktu mengedali makanan. Mengambil makanan dengan menggunakan tangan dan meletakkan kembali makanan yang telah diambil kembali ke bekasnya (makanan tidak habis atau yang telah dikembalikan ).
Apa yang anda boleh lakukan?. Sekiranya anda mendapati kedai yang ada kunjungi tidak mengamalkan langkah kebersihan. Sila laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan atau Pejabat Kesihatan Daerah di kawasan anda agar tindakan dapat diambil. Habis.