Monday, September 20, 2010

KANSER PARU-PARU

Adakah anda mengalami batuk yang berterusan tanpa henti, sesak nafas yang teruk, sakit dada yang berulang, suara yang garau, kahak berdarah ataupun berat badan yang berkurangan. Jika ya, gejala ini berkait rapat dengan masalah Kanser Paru-Paru.
Gejala ini bergantung kepada saiz dan tempat kanser paru-paru itu wujud. Pada peringkat awal, kanser ini mungkin ditemui secara tidak sengaja melalui X-ray dada. Namun, selalunya penyakit ini hanya dapat dikesan pada peringkat akhir kerana kebanyakkan penghidap lambat mendapatkan rawatan. Hal ini berpunca daripada sikap tidak mengambil berat mengenai kesihatan diri masing-masing.
Untuk makluman umum, kanser paru-paru merupakan pertumbuhan sel-sel abnormal di dalam paru-paru yang tidak boleh dikawal. Apabila sel kanser ini merebak melalui saluran limfa, ia boleh menyebabkan kelenjar limfa membengkak. Selain itu, apabila ia menyusur melalui saluran darah ia boleh merebak ke organ lain seperti hati, tulang atau otak.
Merokok merupakan penyebab utama kanser paru-paru kerana asap tembakau mengandungi lebih kurang 4,000 jenis bahan kimia. Sekurang-kurangnya 43 daripada bahan kimia ini diketahui menyebabkan kanser. Selain daripada asap rokok, faktor pekerjaan juga menjadi punca kepada penyakit ini. Contohnya pekerjaan yang mendedahkan pekerja kepada asbestos dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser. Lain-lain jenis pekerjaan yang dikaitkan dengan kanser ini meliputi kerja-kerja yang berhubung rapat dengan pemprosesan keluli, nikel, krom dan gas arang batu.
Langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mencegah penyakit ini adalah berhenti daripada merokok. Selain itu, perokok juga perlu prihatin terhadap ahli keluarga dan rakan-rakan mereka yang menjadi perokok pasif apabila tersedut asap rokok secara langsung. Oleh itu, dinasihatkan kepada perokok agar merokok jauh daripada individu lain yang tidak merokok dan di kawasan yang dikhaskan merokok.
Bagi mereka yang berkerja dalam sektor yang telah dinyatakan, keperluan menggunakan alat perlindungan adalah perlu bagi mengelakkan mereka menyedut bahan-bahan asing dan kimia itu secara langsung terus memasuki paru-paru mereka. Kesedaran pekerja dan majikan adalah perlu dalam usaha ini. Habis.