Monday, August 16, 2010

ANAEMIA (Semasa Mengandung)



Masalah Anaemia atau selalu disebut sebagai masalah kurang darah merah sering berlaku dalam kalangan ibu mengandung. Untuk makluman umum, Anaemia adalah keadaan yang merujuk kepada kepekatan darah merah kurang daripada paras normal. Seseorang yang menghidap Aneamia mempunyai kepekatan darah merah kurang daripada 10 gm% Haemoglobin.
Semasa mengandung, keperluan sel darah merah akan meningkat untuk menampung keperluan ibu dan janin dalam kandungan. Pertambahan ini akan menyebabkan terjadinya masalah ini kepada ibu yang mengandung. Setelah kita mengenali apa itu Anaemia, kita juga perlu mengetahui apa yang menyebabkan ianya berlaku. Pengambilan makanan yang tidak seimbang dalam kalangan ibu mengandung adalah salah satu puncanya. Hal ini boleh disebabkan sikap ibu yang mengandung itu sendiri yang mengabaikan permakanan ataupun disebabkan kemiskinan hidup. Selain itu, jangkitan cacing dan kadar kelahiran yang kerap juga menjadi punca kerana darah di dalam badan akan berkurangan. Pendarahan yang berlebihan daripada faraj dan penyakit buasir juga boleh menyebabkan anaemia.
Oleh yang demikian adalah perlu untuk kita mengetahui tanda-tanda awal penyakit ini agar rawatan segera boleh diberikan. Penyakit ini boleh dikesan lebih awal sekiranya melalui ujian darah yang dijalankan di klinik semasa membuat pemeriksaan. Ibu-ibu dinasihatkan segera ke klinik apabila mendapati mereka mengandung. Sekiranya seseorang menghidap Anemia semasa mengandung, akan kelihatan tanda pucat pada telapak tangan, kelopak mata dan bibir. Selain itu, seseorang itu akan sentiasa rasa letih lesu dan rasa mahu pitam. Kaki dan tangan juga akan berasa kebas dan sentiasa rasa pening.
AWAS!!! Sekiranya keadaan ini tidak dirawat ianya akan menyebabkan keguguran, melahirkan anak tidak cukup bulan, kandungan mati dalam perut, melahirkan anak tidak cukup berat badan, mengalami tumpah darah, kurang pengeluaran susu ibu dan berisiko mendapat penyakit lemah jantung.

No comments:

Post a Comment