Sunday, August 1, 2010

Keracunan Makanan...



Cirit-birit, loya dan muntah, sakit perut dan memulas atau demam dan kesejukkan. Jika anda mengalami tanda-tanda tersebut, segeralah ke klinik atau hospital yang berhampiran bagi mendapatkan rawatan. Selain itu, berikanlah kerjasama anda sekiranya anda dilawati oleh Pegawai Kesihatan untuk mendapatkan maklumat mengenai punca keracunan makanan yang anda alami. Nyatakanlah lokasi, jenis makanan, tanda-tanda pada makanan (warna, rasa atau bau yang aneh) atau keadaan premis makanan tersebut ( kebersihan, serangga atau binatang yang dilihat dan persekitaran premis tersebut ). Kerjasama anda mampu membantu Pihak Kesihatan menjalankan tindakan segera.
Keracunan Makanan ini disebabkan oleh beberapa punca seperti kuman, bahan kimia, penggunaan peralatan memasak yang kotor, serangga perosak seperti lalat. tikus dan lipas serta keracunan toksin@racun semulajadi seperti kulat dan cendawan menjadi punca Keracunan Makanan. Punca-punca yang berlaku ini terjadi kerana sikap lalai dan tidak mengutamakan kebersihan oleh sesetengah penyedia makanan seperti kedai makan, penjaja mahupun kantin atau kafeteria. Oleh yang demikian, kita sebagai pelanggan ataupun pengusaha kedai makan mestilah tahu dan mengamalkan langkah-langkah pengedalian dan penyediaan makanan yang bersih dan ditetapkan oleh Pihak Berkuasa.
Ciri-ciri pengedalian makanan yang sempurna harus diamalkan sama ada makanan disediakan di rumah ataupun premis makanan. Gunakanlah kain yang bersih untuk mengelap pinggan dan mangkuk menghidang makanan. Lindungi makanan dari lalat, tikus dan lipas ( Agen Pembawa Bakteria) dengan menggunakan tudung saji jika di rumah atau penutup bekas makanan sekiranya di premis makanan. Langkah sebaiknya adalah sentiansa mengemaskan tempat penyediaan makanan dan membuang sampah dan sisa buangan jauh daripada tempat memasak.
Makanan yang telah dimasak tidak boleh dicampur dengan makanan mentah di tempat yang sama. Hal ini bagi mengelakkan berlakunya pencemaran terhadap makanan tersebut. Selain itu, elakkan mengambil makanan menggunakan tangan. Sediakanlah penyepit atau sudu bagi membolehkan makanan diambil.
Sekiranya anda bukan pengedali premis makanan, sebagai pelanggan. Anda juga perlu mengetahui ciri-ciri premis yang bersih agar anda menjadi pelanggan yang bijak memilih premis yang bersih. Restoran mahupun kedai makan tidak semestinya lebih bersih berbanding penjaja-penjaja di tepi jalan. Ciri-ciri premis yang bersih adalah mempunyai tempat membasuh peralatan yang sesuai. Seringkali kita melihat pinggan-mangkuk yang kotor dilonggokan di tepi longkang untukdibasuh oleh pengedali makanan yang tidak bertanggungjawab. Selain itu, ruangan bagi mempamer dan menyimpan makanan juga haruslah mencukupi dan tidak kotor supaya kebersihan makanan terjamin dan makanan tidak bercampur-aduk. Siling dan dinding mestilah bersih dan bercat cerah. Terdapat sesetengah premis, terutamanya kedai lama yang membiarkan sahaja dinding dan siling yang telah berkulat tanpa dicat baru. Pencahayaan dan pengudaraan perlu la mencukupi dan berfungsi agar pelanggan selesa dan tidak berlaku pencemaran bau.
Akhir sekali, setelah memilih kedai. Pekerja-pekerja juga harus dilihat kebersihannya. Pengedali makanan ini tidak sepatutnya menghisap rokok semasa mengedalikan makanan. Meludah atau batuk ke arah tempat penyediaan makanan. Tidak menutup rambut, memakai apron dan pakaian yang bersih sewaktu mengedali makanan. Mengambil makanan dengan menggunakan tangan dan meletakkan kembali makanan yang telah diambil kembali ke bekasnya (makanan tidak habis atau yang telah dikembalikan ).
Apa yang anda boleh lakukan?. Sekiranya anda mendapati kedai yang ada kunjungi tidak mengamalkan langkah kebersihan. Sila laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan atau Pejabat Kesihatan Daerah di kawasan anda agar tindakan dapat diambil. Habis.

No comments:

Post a Comment