Monday, August 9, 2010

Jerebu dan kesihatan



Jerebu ialah satu fenomena yang disebabkan oleh kewujudan banyak partikel-partikel kecil yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar dan terapung-apung di udara. Partikel-partikel ini mungkin berasal secara semulajadi ataupun kesan sampingan daripada aktiviti manusia. Apabila partikel-partikel ini wujud dalam kuantiti yang banyak dan berkelompok ianya boleh menyekat pancaran cahaya matahari ke bumi. Oleh yang demikian, keadaan ini mengurangkan jarak pandangan mata kasar.
Adalah penting bagi kita mengenal pasti punca-punca berlakunya jerebu ini agar langkah pengawalan dapat diambil daripada berlakunya jerebu ini. Sekiranya jerebu telah berlaku, adalah sukar untuk mengawalnya kerana memerlukan jangka masa panjang dan kos yang tinggi.
Pembakaran secara terbuka dan tanpa kawalan dikesan menjadi penyumbang utama kepada berlakunya jerebu ini. Pembakaran terbuka biasanya bertujuan membersihkan kawasan pertanian yang berskala luas terutamanya di negara jiran. Namun akibat tidak dikawal, ianya merebak ke kawasan hutan dan menyebabkan kebakaran besar terjadi. Kesannya, asap yang terhasil daripada kebakaran tersebut menyebabkan berlakunya jerebu. Hal ini diburukkan lagi sekiranya angin bertiup kencang yang menyebabkan kebakaran semakin merebak dan membawa kabus asap ke lokasi lain. Memadamkan kebakaran dan pembenihan awan adalah langkah yang diambil oleh pihak berkuasa.
Selain itu, jumlah kenderaan yang semakin meningkat terutamanya di negara-negara membangun dan maju menyebabkan kadar pengeluaran asap kenderaan meningkat. Saban tahun, berlaku pertambahan berjuta-juta pengguna kenderaan. Hal ini tidak termasuk lagi dengan bilangan kenderaan yang dimiliki oleh setiap individu tersebut. Pencemaran asap kenderaan tidak dapat dielakkan kerana ianya medium perhubungan penting kepada sosio mahupun ekonomi sesebuah negara. Namun, tindakan penguatkuasaan asap hitam sering dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar bertujuan memantau pengeluaran asap hitam daripada kenderaan terutamanya kenderaan komersil.
Aktiviti Industri dan Kuari turut menjadi penyumbang kepada berlakunya jerebu ini. Meskipun diberikan garis panduan dan diwajidkan memasang alat penapis di serombong pelepasan asap. Namun masih ada syarikat yang mengambil jalan mudah dengan tindakan mengikut peraturan yang diwajidkan. Hal ini diburukkan lagi sekiranya perkara ini dilakukan oleh kilang-kilang haram yang jelas sekali sukar dipantau oleh pihak berkuasa. Dari masa ke semasa, semakin banyak kawasan industri dan kuari dibangunkan di seluruh dunia bagi menampung keperluan pengeluaran. Secara tidak langsung, kadar pencemaran udara akan meningkat dan jerebu akan kerap terjadi.
Jerebu mendatangkan implikasi yang akan mengancam kesihatan kita sekiranya tidak dikawal dan golongan berisiko tinggi akan lebih cepat mendapat kesannya. Kanak-Kanak, Orang Tua, Penghidap Penyakit Kronik, Perokok dan mereka yang sentiasa berkerja di luar (Buruh Binaan, Pekerja Kebersihan, Polis Trafik dan sebagainya). Gejala-gejala yang boleh dirasai sekiranya kita mengalami kesan jerebu ini adalah terasa gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk-batuk, terasa sukar untuk bernafas atau sesak nafas, mata pedih dan berair, hidung berair dan kerap bersin, kulit badan terasa gatal-gatal dan sakit dada.
Langkah yang terbaik bagi menghadapi jerebu sekiranya ia terjadi adalah mengurangkan aktiviti di luar pejabat atau rumah. Jika perlu berada di luar pejabat atau rumah atas sebab kerja atau urusan lain. Pemakaian topeng muka adalah digalakkan dan orang ramai diminta meminum air dengan banyak. Sentiasa merujuk di media massa mengenai status terkini indeks jerebu yang dilaporkan agar anda boleh merancang aktiviti harian anda.

No comments:

Post a Comment